KOTA KINABALU – Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program Bakti SUKSIS UMS 2024 bersama komuniti di Kudat baru-baru ini.
Menurut pengarah program, Jesnita Jsbal, tujuan program itu untuk menghayati serta menjayakan Slogan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
“Antara tujuan program diadakan adalah untuk berkhidmat bukan sahaja kepada masyarakat dan penduduk Kampung Tinangol tetapi juga para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinawantai.
“Selain itu, ia juga akan meningkat kesedaran dalam diri pelatih untuk sentiasa mengambil berat terhadap masalah dihadapi masyarakat dan tidak hanya terikat dengan akademik semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Abdul Rahman Kassim berkata, semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan para pelatih sangat diperlukan untuk memastikan kecemerlangan dan kejayaan sebuah program.
“Dalam kesempatan ini, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelatih Kor Sukarelawan Polis UMS, para jurulatih dan juga Pegawai Penyelaras Kor Suksis UMS,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program.
Seramai 200 peserta dan 65 kor pelatih SUKSIS UMS telah turut serta dalam program itu.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah ceramah pemantapan sahsiah untuk pelajar sekolah, gotong royong membersihkan kawasan sekitar, perkhidmatan gunting rambut secara percuma dan lukisan mural di bangunan SMK Pinawantai. – MalaysiaGazette