KUALA LUMPUR – Jabatan Laut Malaysia (JLM) menafikan kapal MT Ceres cuba melarikan diri apabila berlanggar dengan kapal MT Hafnia Nile milik Singapura.
Ketua Pengarah Laut JLM, Kapten Mohamad Halim Ahmed berkata, kapal yang berdaftar dengan Republik Demokratik Sao Tome dan Principe mengalami kerosakan rantai sauh kapal yang terputus menyebabkannya hanyut.
“Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua buah kapal telah terbakar dan rantai sauh Kapal Ceres 1 di bahagian starboard telah terputus dan seterusnya menyebabkan kapal Ceres 1 hanyut.
“Kesemua 22 orang anak kapal Hafnia Nile telah diselamatkan oleh kapal RSS Supreme milik Tentera Laut Republik Singapura dan dirawat di Hospital Awam Singapura,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim yang juga melaksanakan tugas Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Mohamad Halim berkata, siasatan awal mendapati tiada tumpahan minyak dikesan di kawasan pelanggaran dan hanya terdapat kilatan minyak yang berpunca daripada tangki bunker kapal Hafnia Nile.
“Penghadang minyak dipasang di sekeliling kapal Hafnia Nile bagi mengawal keadaan. Tiada tumpahan minyak dari kapal Ceres I dilaporkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pada awalnya MT Ceres 1 disyaki cuba melarikan diri dari lokasi insiden namun setelah kapal tersebut ditemui pada kedudukan 98 batu nautika Timur Laut Pulau Tioman bersama dua bot tunda iaitu PSA VALKYRIE CS06 dan KST ZODIAC, Maritim Malaysia mendapati enjin MT Ceres 1 tidak berfungsi sepenuhnya menyebabkan kapal tersebut dihanyutkan arus.
“Kedua-dua bot tunda berkenaan dilantik oleh ejen kapal bagi tujuan melawan api dan menyejukkan MT Ceres 1 namun tidak berkeupayaan menunda kapal tersebut untuk kembali ke posisi kejadian menyebabkan kedua-dua bot tunda berkenaan turut hanyut bersama MT Ceres 1 semasa proses bantuan dijalankan,” katanya dalam sidang media sama.
Mohd Zawawi turut berkata, seramai 14 orang daripada 40 kru MT Ceres 1 telah diselamatkan oleh RSS Supreme, manakala baki 26 orang kru berada dalam kapal dengan kesemua mereka selamat dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
“Sehingga operasi CARILAMAT ditamatkan, MT Ceres 1 kini dilaporkan berada di kedudukan 8.4 batu nautika Timur Laut Sedili Besar manakala MT HASNIA NILE berada di posisi 17.2 batu nautika Tenggara Tanjung Sedili dalam Perairan Wilayah Malaysia di bawah pemantauan Jabatan Laut Malaysia bagi tujuan kerja-kerja pemulihan (salvage),” katanya.
Minggu lalu, kapal itu hilang dari lokasi kejadian dalam insiden perlanggaran di Perairan Tanjung Balau.
Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus, berkata ‘kehilangan’ MT Ceres 1 dari lokasi kejadian disedari dalam operasi mencari dan menyelamat.
Manakala kapal MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura dan membawa muatan bahan kimia Naptha – sejenis cecair mudah terbakar, dikesan hanyut 52 batu nautika dari lokasi kejadian dan kini berada di Timur Pulau Pemanggil, Mersing.
Untuk rekod, kerosakan kepada kedua-dua kapal masih belum dianggarkan. – MalaysiaGazette