Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pameran selepas merasmikan Majils Peluncuran Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 30 JULAI 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan nelayan dan pemancing di Laut China Selatan untuk tidak bimbang dengan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG), khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.

“Jangan takut, jangan takut,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita mengenai kegusaran nelayan tempatan di perairan Laut China Selatan mengenai kehadiran kapal-kapal berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Terdahulu media melaporkan terdapat kegusaran dalam kalangan nelayan di perairan berkenaan mengenai kehadiran kapal CCG di sekitar kawasan berkenaan yang menyukarkan nelayan dan pemancing menjalankan aktiviti mereka.

Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri, Sarawak dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Kementerian Pertahanan sebelum ini berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa memantau enam kawasan maritim Malaysia merangkumi Selat Melaka, Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu untuk mengesan kapal mencurigakan dan kapal perang negara lain. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast