Ahmad Zahid dalam majlis yang sama turut mengumumkan persetujuan permohonan bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan untuk membayar gratuiti sebanyak RM8,400.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) meluluskan projek pembangunan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Kedua di Sungai Asap, Gua Musang yang akan menelan belanja RM20.7 juta.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek pembangunan yang dijangka siap pada 2028 itu kini pada peringkat penyediaan reka bentuk tapak.

“Kita maklum mengenai masalah kesukaran generasi kedua dan ketiga untuk memiliki kediaman yang selesa dan kondusif disebabkan harga tanah yang semakin tinggi yang mana tidak mampu dibiayai oleh mereka untuk membina rumah.

“Atas dasar keprihatinan, maka kerajaan telah meluluskan kepada KESEDAR untuk melaksanakan Program Penempatan seperti PPD berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan PPD Sungai Asap, Gua Musang, Kelantan hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, antara komponen yang terlibat dalam pelaksaaan projek tersebut adalah penyediaan 132 lot rumah, lot kedai dan tapak pasar.

“Ia termasuk kemudahan masjid, tangki air, dewan serbaguna, bekalan air, elektrik, talian internet, padang serta jalan masuk yang memberi manfaat bersamaan 650 orang penduduk peneroka generasi kedua dan ketiga,” tambahnya.

Beliau optimis projek yang dijangka akan dapat menyelesaikan isu yang dihadapi oleh para peneroka generasi kedua dan ketiga
selain dapat menyediakan kemudahan lain yang bersepadu dan teratur.

Katanya, KKDW melalui KESEDAR juga telah mengenal pasti beberapa lagi PPD untuk dibangunkan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam majlis yang sama turut mengumumkan persetujuan permohonan bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan untuk membayar gratuiti sebanyak RM8,400.

Ujarnya, pemberian haruslah kepada peserta yang belum menerima dan sudah menandatangani surat persetujuan penamatan projek Agropolitan.

Katanya, ia merupakan bukti keprihatinan kerajaan kepada nasib bekas-bekas peserta tersebut.

“Kita telah menimbangkan dan memutuskan untuk membayar bayaran gratuiti seperti yang disebutkan,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast