Ali Sultan dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk menghadapi pertuduhan merasuah penguat kuasa MBIP.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kedai runcit warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu.

Tertuduh, Ali Sultan, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit kerana gagal mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan MBIP.

Kedai runcit di mana tertuduh bekerja menjalankan aktiviti menjual ayam, itik dan ikan hidup yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kesalahan itu dilakukan di premis tersebut di Jalan Pelepas 4/1, Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada pukul 11.04 pagi, 16 Ogos 2023.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Pertuduhan itu memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Fazal Lisam Abidin manakala tertuduh  tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan untuk dijamin kerana berisiko melarikan diri.

Ali Sultan memohon jaminan dikurangkan kerana baru dua tahun bekerja di Malaysia dan mempunyai tanggungan anak dan isteri di Bangladesh serta masih menampung perbelanjaan adik-adiknya.

Hakim Ahmad Kamal Ariffin menangguhkan hukuman yang dikenakan terhadap suspek kerana tidak berpuas hati dengan prosiding tersebut berjalan.

“Prosiding sepatutnya berjalan lancar di mana tertuduh faham pertuduhan dan hukuman. Oleh itu, mahkamah beri masa kepada tertuduh untuk lantik peguam selain dapatkan jurubahasa Bangladesh bagi memastikan prosiding berjalan lancar,” katanya.

Tertuduh turut tidak dibenarkan jaminan dan akan ditahan reman di Pusat Koreksional Johor Bahru (Pusat Reman Johor) sehingga tarikh sebutan semula pada 25 Ogos ini.- MalaysiaGazette