Khazanah
Khazanah Nasional Bhd

KUALA LUMPUR- Khazanah Nasional Bhd. selesai mengambil alih Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) dan Penjana Kapital, dalam usaha memperkukuhkan ekosistem modal teroka (VE) negara ini dan menambah baik institusi awam.

Sehubungan itu, MAVCAP dan Penjana Kapital kini menjadi anak syarikat Khazanah Nasional sepenuhnya.

Sayap pelaburan negara itu dalam kenyataannya berkata, pengambilan alih kedua-dua firma berkenaan akan diikuti dengan penubuhan sebuah National Fund-of- Funds (NFOF) dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion.

Katanya, dana berkenaan akan dilaburkan dalam syarikat pemula yang berinovatif dan mempunyai pertumbuhan tinggi melalui dana VC dan ekuiti persendirian (PE).

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata, integrasi MAVCAP dan Penjana Kapital memberi peluang kepada NFOF untuk melaksanakan inisiatif baharu yang bertujuan memperkukuhkan lagi ekosistem VC negara.

Tambah beliau, dengan memusatkan dan mengukuhkan platform-platform pelaburan merentasi pelbagai agensi pelaburan, Malaysia akan berada di kedudukan yang lebih baik untuk memastikan kemampanan pembiayaan, menarik modal swasta, menarik firma VC serantau ke negara ini, dan merangsang sektor-sektor strategik negara.

“Dalam masa yang sama, penubuhan NFOF ini selari dengan inisiatif ‘Future Malaysia Programme’ Khazanah.

“Ia bertujuan untuk menyokong ekosistem usahawan syarikat pemula tempatan, syarikat pemula, VC, dan program modal teroka korporat melalui kerjasama dengan rakan-rakan domestik dan antarabangsa,” katanya.

Pengambilan alih itu adalah seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk ‘meningkatkan siling’ melalui industri yang dipacu oleh inovasi digital dan menyokong syarikat berpertumbuhan tinggi untuk menjadi juara serantau.- MalaysiaGazette