MELAKA – Kerajaan negeri menetapkan garis panduan baharu kepada penceramah agama apabila mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, mereka juga diwajibkan mendapat pertauliahan dari Jabatan Mufti.
Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan mereka tidak dapat berceramah sama ada di surau atau masjid serta mana-mana lokasi di negeri ini.
“Isi kandungan ceramah juga perlu dimaklumkan kepada Jabatan Mufti untuk penelitian.
“Ini adalah garis panduan baharu yang kita tetapkan selepas menerima beberapa aduan terpencil berhubung ceramah yang diadakan tanpa mendapat pertauliahan di beberapa surau sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Wacana Hadith Sempena Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, surau melakukan kesalahan itu sudah pun dikenal pasti dan dikenakan tindakan.
Sementara itu dalam ucapannya Rahmad berkata, Jabatan Mufti terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merampas hadis dan al-Quran palsu yang dijual di pasaran tempatan di negeri ini. – MalaysiaGazette