Mohd Sohaimi Ishak

PASIR GUDANG – Polis menafikan berlaku kes seorang kanak-kanak cuba dilarikan di sebuah stesen minyak di Masai, di sini, seperti yang tular dalam media sosial.

Video berkenaan yang asalnya dimuat naik dalam Facebook atas akaun nama Quyn Bohay sebelum ini dikongsi di laman Facebook Komuniti Bandar Seri Alam pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kes berkenaan merupakan kejadian lama yang sudah pun dinafikan polis sebelum ini.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 2.30 petang, pada 19 November 2023 di sebuah stesen minyak di Masai. Namun begitu pada pukul 4 petang hari yang sama kanak-kanak tersebut selamat pulang ke rumah.

“Dia memaklumkan telah keluar bersama-sama rakan sekolah yang dikenalinya. Polis mendapati kejadian melarikan kanak-kanak ini tidak berlaku dan pemilik akaun Facebook terbabit sudah mengambil tindakan memadam hantaran tersebut pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat atau menularkan kejadian yang telah berlaku itu.- MalaysiaGazette