Superitenden Mohd Sohaimi Ishak

JOHOR BAHRU – Polis menafikan dakwaan ada cubaan menculik seorang remaja lelaki berhampiran sekolahnya di Taman Ulu Tiram, Ulu Tiram di sini seperti yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, dakwaan remaja berusia 13 tahun itu tidak berasas dan hanya rekaan selepas ditegur keluarga kerana lewat menaiki van untuk pulang dari sekolah ke rumah.

“Pihak polis menerima laporan kelmarin daripada seorang wanita warga tempatan berusia 49 tahun yang mengadu berkaitan kejadian cubaan melarikan anak lelakinya oleh individu tidak dikenali.

“Individu berkenaan didakwa menaiki van putih dan kejadian didakwa berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera di kawasan Ulu Tiram ketika remaja itu ingin pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan pada pukul 6.45 petang, 3 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian yang dilaporkan tidak berlaku sebaliknya hanya rekaan remaja itu bagi menarik perhatian wanita berkenaan selepas ditegur lewat menaiki van untuk pulang ke rumah.

Justeru katanya, polis mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memberi perhatian serta mengawasi pergerakan anak sama ada ketika berada dalam rumah atau luar.

“Orang ramai juga dinasihati supaya tidak mudah panik atau membuat spekulasi terhadap sesuatu maklumat tanpa mengetahui kesahihannya.

“Ia boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Maklumat itu tular menerusi aplikasi What’sApp selain turut dimuat naik pengendali akaun Facebook Warga Sungai Tiram dan Ulu Tiram sejak kelmarin.

Menerusi maklumat yang tular itu, remaja berkenaan mendakwa dihampiri seorang lelaki yang memakai topeng muka dan cermin mata hitam.

Remaja itu juga mendakwa melihat lelaki itu memiliki pisau di bahagian belakang badan hingga mengakibatkan remaja itu melarikan diri dari lokasi kejadian demi keselamatan diri.- MalaysiaGazette