Datuk Azizi Mat Aris

IPOH – Polis menahan lima pelajar lelaki susulan kes seorang pelajar Tingkatan Satu dipukul di sebuah sekolah menengah di sini, pada minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semua remaja lelaki yang berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan.

Katanya, penahan itu dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya berhubung kejadian mangsa didakwa dipukul pelajar-pelajar Tingkalan Lima dan Empat, pada Rabu lalu.

“Mangsa telah mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan. Mangsa juga telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sebagai pesakit luar.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Menurut Azizi, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

Ujar beliau, di bawah seksyen itu ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

“Siasatan kes sedang dijalankan dan keterangan saksi-saksi terlibat akan dirakam percakapan.

“Pihak polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai supaya bersabar dalam apa jua keadaan dan tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast