Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pameran selepas merasmikan Majils Peluncuran Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 30 JULAI 2024

PUTRAJAYA – Kerajaan akan tetap mempertahankan kedaulatan Sabah dan tidak akan bertolak ansur walaupun satu inci pun tanah di negeri itu daripada dituntut Filipina.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan juga tidak akan terlibat dalam sebarang rundingan yang mempertikaikan hak Sabah.

Ini kerana, katanya, Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

“Kerajaan Malaysia buat kenyataan tegas, tidak akan bertolak ansur satu inci tanah rakyat kita dan tidak mungkin kita terlibat dalam apa-apa perundingan melibatkan hak dan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya  di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri  Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.

Semalam, Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian penting daripada Malaysia.

Katanya, langkah itu adalah memastikan agar kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara sentiasa dilindungi pada setiap masa.

Pada 5 Julai lalu, Malaysia telah menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekaligus menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, hubungan diplomatik yang sangat baik dan akrab di antara Malaysia dan Filipina perlu dimanfaatkan untuk keselamatan.

“Hubungan peribadi saya dengan Presiden (Filipina), Ferdinand Marcos Jr di tahap sangat rapat dan akrab. Oleh itu, jalur ini harus kita manfaatkan untuk keselamatan.

“Tapi dalam konteks ini, pasukan kita harus mengerti bahawa sejarah telah menunjukkan dan membuktikan bahawa pelakuan dan serangan seperti yang berlaku di Sabah beberapa tahun lalu berlaku dalam keadaan tidak diduga.

“Maka sebab itu kesedaran keselamatan harus diperluas… soal keselamatan bukan tanggungjawab pasukan keselamatan atau badan penguatkuasaan tetapi keselamatan negara tanggungjawab bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette