Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meninjau operasi jet Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JULAI 2024.

SUBANG – Pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) atau Skypark Subang bakal menyaksikan terminal sedia ada berwajah baharu selepas melalui proses menaik taraf demi keselesaan pengguna domestik dan antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, untuk fasa pertama, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berjaya menyiapkan semua kerja-kerja pembinaan fizikal untuk Operasi Jet Interim (IJO) pada 30 Jun 2024.

Beliau berkata, sepanjang tiga hingga empat tahun operasi interim perkhidmatan jet di LTSAAS berjalan, MAHB akan seiring melakukan lima penambahbaikan utama kepada fasiliti pesawat komersial itu.

“Antaranya parkir pesawat (apron) dikonfigurasikan semula, yang mana enam ruang letak kereta kini boleh memuatkan pesawat berbadan tirus termasuk Boeing 737, Airbus A320 dan jenis jet lain yang setara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pesawat Firefly di kawasan parkir Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ketika tinjauan Malaysia Gazette di Subang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JULAI 2024.

Selain itu, Anthony berkata, keluasan lantai kasar terminal akan meningkat kira-kira enam peratus dari 21,674 kepada 22,674 meter persegi.

“Ia bagi menampung penambahan tiga Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) untuk menampung peningkatan kapasiti ini,” jelasnya.

Bagi keselesaan pengembara, sebanyak 14 kaunter daftar masuk untuk kegunaan biasa, empat kemudahan menurunkan beg layan diri dan 15 kiosk layan diri akan dipasang.

“Kemudahan baharu ini bagi memastikan proses daftar masuk dijangka lebih lancar,” katanya.

Kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ketika tinjauan Malaysia Gazette di Subang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JULAI 2024.

Selain itu, katanya, pemeriksaan keselamatan, proses kastam dan imigresen dijangka bertambah baik dengan kemudahan dan peralatan tambahan yang bakal dipasang.

“Kaunter imigresen telah ditambah dari tiga sekarang kepada empat untuk berlepas dan dari tiga kepada lapan untuk ketibaan,” katanya.

Dengan penambaikan ini, penumpang boleh merasai keselesaan dengan lebih baik dan perjalanan lebih lancar menerusi lanjutan ruang istirehat domestik dan antarabangsa.

“Ada tiga pintu masuk tambahan (satu antarabangsa dan dua domestik) serta kawasan tuntutan semula bagasi domestik baharu dan kawasan tuntutan antarabangsa khusus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast