Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri sedang sedang menjalankan siasatan secara mendalam mengenai penularan satu video tular di media sosial yang mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah.

Siasatan itu dijalankan dengan kerjasama kementerian serta agensi berkenaan berhubung perkara ini.

Kementerian Luar Negeri menegaskan pendirian Kerajaan Malaysia bahawa Sabah sentiasa merupakan sebahagian penting daripada negara ini.

Bahkan, Malaysia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf mana-mana tuntutan ke atas Sabah dan Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Malah, tegasnya, rakyat Sabah telah melaksanakan hak penentuan nasib sendiri berhubung pembentukan Malaysia menerusi Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.

Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian penting daripada Malaysia dan memastikan agar kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara sentiasa dilindungi pada setiap masa. – MalaysiaGazette