Mariah diperintahkan Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, untuk menjalani rawatan di hospital berikutan mengalami kemurungan.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang daripada lima ahli keluarga yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram di sini pada 17 Mei lalu mendapatkan rawatan di hospital selepas dikesan mempunyai simptom kemurungan.

Hakim Rasidah Roslee membuat keputusan tersebut selepas peguam yang mewakili kelima-lima tertuduh, Faizal Rahman membuat permohonan supaya tertuduh kelima, Mariah Radin Imran, 19, dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Peguam tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa Mariah dikesan mempunyai tanda-tanda kemurungan ketika bertemu anak guamnya yang ditahan di Penjara Simpang Renggam, Kluang.

“Saya mohon mahkamah untuk merujuk Mariah ke hospital dan dapatkan rawatan lanjut segera berikutan tanda-tanda kemurungan yang dikesan ketika bertemunya akhir Jun lalu,” katanya dalam prosiding sebutan semula kes itu hari ini.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh mendapatkan rawatan hospital dengan kadar segera dan tanpa gagal.

Keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik tidak mempunyai bantahan dan bersetuju supaya Jabatan Penjara mengambil tindakan sewajarnya.

Timbalan Pendakwa Raya turut memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula susulan laporan pakar keganasan masih belum dilengkapkan.

Hakim menetapkan 2 September ini untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan bagi mendapatkan laporan pakar keganasan sekali gus memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, kelima-lima tertuduh iaitu bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura, selain tiga adik beradik lelaki yang ditembak mati 17 Mei lalu, iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19, tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pukul 8.35 pagi.

Ketibaan mereka dikawal ketat lebih 20 anggota polis bersenjata.

Pada 19 Jun lalu, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas semua sembilan pertuduhan dibacakan kepada semua tertuduh di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim ketika itu.

Radin Imran dilaporkan berhadapan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Radin Imran dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi ini, untuk sebutan semula kes anaknya yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu

Fahaman itu didakwa telah disemai kepada semua anggota keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, isterinya serta tiga anaknya yang lain.

Bagi pertuduhan kedua, Radin Imran dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas IS, dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dia dan anak sulungnya, Radin Romyullah turut berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi. Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Radin Romyulllah iaitu seorang daripada lima ahli keluarga yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini

Radin Imran turut didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkaitan kumpulan pengganas IS, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan pengganas, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi tertuduh ketiga hingga kelima membabitkan Rosna; Farhah Sobrina dan Mariah pula, mereka didakwa sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkaitan kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574). Mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara antara tujuh tahun hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya dengan semua harta yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, di sini, antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.- MalaysiaGazette