Sharifah Azizah Syed Zain

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mengalami pendarahan dalaman dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Ketua Wanita UMNO Johor, Asiah Md Ariff berkata, pihaknya tidak mengetahui punca sebenar Sharifah Azizah yang berusia 63 tahun dimasukkan ke HEBHK.

“Saya difahamkan Sharifah Azizah dimasukkan ke hospital tersebut dua atau tiga hari lepas. Kami tidak diberitahu sekit apa dan adakah keadaannya kritikal.

“Petang ini saya dan kawan-kawan akan melawatnya,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian, Hasrunizah Hassan berkata, Sharifah Azizah pernah dimasukkan ke hospital awal tahun ini kerana penyakit yang sama.

Menurutnya, beberapa hari lalu, Sharifah Azizah dirawat di wad hospital berkenaan akibat penyakit yang sama, tetapi sudah dibenarkan pulang.

“Beberapa hari lalu, kami dimaklumkan beliau sudah dibenarkan keluar wad. Tetapi lewat petang semalam dapat maklumat beliau dimasukkan semula ke hospital selepas muntah. Saya mendoakan kesihatan beliau akan pulih dan sedang mendapatkan maklumat lanjut sebelum menziarahinya,” katanya.

Sharifah Azizah menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah merupakan ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.- MalaysiaGazette