Onn Hafiz (tengah) diberi penerangan berhubung keadaan Sharifah Azizah semasa di HEBHK, Kluang, hari ini

KLUANG – Ahli- Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, kini dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan doktor di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keadaan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kluang itu semakin pulih namun pada masa ini perlu berehat.

“Saya berterima kasih kepada pihak hospital kerana memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan kesihatan kembali pulih selepas dimasukkan ke hospital malam tadi.

“Sama-sama kita berdoa agar beliau kembali sihat seperti sebelum ini,” katanya ditemui pemberita selepas melawat Sharifah Azizah di HEBHK petang ini.

Onn Hafiz sebelum itu meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarahi Sharifah Azizah yang ditempatkan di bilik ICU HEBHK.

Sebelum itu, anak keempat Sharifah Azizah, Nadia Abu Bakar berkata, keadaan ibunya bertambah baik berbanding ketika dirujuk ke HEBHK malam tadi.

Dia berkata, ibunya dirujuk ke hospital setelah memaklumkan rasa sesak nafas.

Sebelum itu, katanya, Sharifah Azizah telah dibenarkan keluar dari hospital pada sebelah siangnya setelah menjalani rawatan akibat masalah sama Sabtu lalu.

“Ibu dimasukkan ke hospital pukul 2 pagi tadi akibat masalah sesak nafas, keadaan dia sekarang stabil dan tidak membimbangkan.

“Beberapa status yang dimuat naik berkaitan kesihatan ibu yang agak teruk adalah tidak benar dan diharap tidak menyebarkan berita-berita tidak betul dan tidak berkaitan,” katanya.

Sharifah Azizah menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah merupakan ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Mahkota kini di ICU akibat pendarahan dalaman