Beberapa kolam utama di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru, disahkan Jabatan Kimia mengandungi bakteria e-coli, semalam.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah mendakwa berlaku kitirisan dalam Pengurusan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin di sini hingga menyebabkan 19 pelajar mengalami masalah kesihatan.

Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan kondisi infrastruktur dan kualiti air di pusat akuatik itu kotor sehingga mengandungi bakteria escherichia coli (e-coli) yang boleh menjejaskan kesihatan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, isu kebersihan pusat akuatik tersebut telah dibangkitkan pihaknya dan pihak pengurusan berjanji akan menyelenggara kolam terbabit.

“Sekiranya kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan dilakukan seperti yang dijanjikan, tidak mungkin kehadiran bakteria e-coli boleh dikesan di beberapa lokasi termasuk di kolam terjun dan kolam renang.

“Saya sering turun ke sana untuk melihat kemajuan kerja dan bertanyakan status di lokasi termasuk kondisi infrastruktur dan kualiti air di pusat akuatik berkenaan.

“Namun, apakan daya apabila kita mengharapkan sesuatu pihak itu buat kerja tetapi malangnya berlaku ketirisan pula.

“Malah keadaan kolam juga tidak bersedia untuk meneruskan acara tersebut,” katanya mengulas keputusan Jabatan Kimia yang mengesahkan beberapa kolam di pusat akuatik tersebut dicemari bakteria e-coli.

Terdahulu, Mohd Hairi menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Pantri Kepada Hospital Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Khamis lalu, 19 pelajar daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 terpaksa dikejarkan ke hospital selepas muntah-muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan.

Semalam, Jabatan Kimia mengesahkan kandungan air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan mengandungi bakteria e-coli.

Dalam pada itu, Mohd Hairi turut menyelar tindakan pihak terbabit yang lepas tangan apabila tidak menyelenggara pusat akuatik tersebut sebelum digunakan bagi penganjuran kejohanan tersebut.

Tegasnya, pihak terbabit perlu mengambil kira aspek keselamatan peserta setelah kemudahan itu turut dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Pihak yang bertanggungjawab katanya, harus mengambil iktibar bagi memastikan kejadian berkenaan tidak berulang.

Tambah beliau, pengurusan venue sukan lain juga perlu ambil maklum perkara itu bagi memastikan kemudahan infrastruktur dalam keadaan yang baik sebelum membenarkan pihak lain menggunakan fasiliti yang ada.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan pusat akuatik itu dalam masa terdekat, saya dimaklumkan bahawa mereka akan membuat tindakan segera dan sebelum insiden sama berulang.

“Sebelum ini permintaan mereka untuk membuka pusat akuatik itu kepada umum telah dibenarkan setelah mereka berjanji nak naik taraf, lakukan pengubahsuaian dan sebagainya. Namun bila Menteri Besar Johor dua kali melawatnya, keadaan masih sama, tak seperti dijanjikan, ia seperti melepaskan batok di tangga,” ujarnya. – MalaysiaGazette