KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) berkata kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) di Laut China Selatan akan memberikan kesan tuntutan perundangan terhadap kawasan di sekitar Beting Patinggi Ali.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Anwar perlu sedar bahawa kenyataan beliau terhadap isu berkenaan adalah salah dan mungkin akan disalahertikan pelbagai pihak.
“Selain daripada membawa mesej yang salah, kenyataan Perdana Menteri itu juga boleh dianggap sebagai ‘pengiktirafan’ kepada pihak yang menuntut kawasan terbabit dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada hak negara.
“Kehadiran kapal CCG bukan sahaja melahirkan kegusaran dan ketakutan kepada para nelayan kita, malah menimbulkan masalah dalam urusan melibatkan mata pencarian mereka.
“Kenyataan Perdana Menteri seolah-olah tidak prihatin terhadap nasib nelayan kita. Kenyataan ini juga boleh menyebabkan maruah dan hak kedaulatan perairan negara dipandang rendah oleh negara jiran serantau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar yang menasihatkan nelayan dan pemancing di Laut China Selatan untuk tidak bimbang dengan kehadiran kapal CCG, khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.
Mengulas lanjut, katanya, kenyataan Anwar itu amat berbeza dengan pendirian Filipina yang jauh lebih tegas dalam isu berkaitan sempadan perairan negara mereka khususnya apabila berdepan dengan pencerobohan kapal asing.
“Rakyat Malaysia tidak mahu Perdana Menteri mengambil pendekatan ‘beralah’ hanya disebabkan faktor negara berada dalam proses penyertaan gabungan tertentu seperti BRICS. Dalam apa jua keadaan, kedaulatan dan hak negara sebagai sebuah negara berdaulat perlu dipertahankan.
“PN sekali lagi menegaskan bahawa kedaulatan sempadan perairan negara perlu dipertahankan serta menyeru suatu kerjasama keselamatan bersepadu dapat diperteguh oleh Kerajaan Persekutuan bagi menjamin keselamatan sempadan perairan negara khususnya Beting Patinggi Ali.
“Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri, Sarawak dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat kegusaran dalam kalangan nelayan di perairan berkenaan mengenai kehadiran kapal CCG di sekitar kawasan berkenaan yang menyukarkan nelayan dan pemancing menjalankan aktiviti mereka. – MalaysiaGazette