PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini akan mendengar rayuan Datuk Peter Anthony yang dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas sabitan memalsukan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan pada 2014, esok.
Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim akan memutuskan nasib bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu selepas hujahan rayuannya dilakukan.
Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Pada 18 April 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter, setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.
Peter yang berjawatan Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa telah memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu mengemukakan representasi pertama namun ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Mei lalu.
Beliau memohon AGC menerima representasinya, supaya permohonan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda, dibenarkan.
Sebelum ini, Peter melalui peguamnya, Datuk Nicholas Kow Eng Chuan memohon kepada mahkamah supaya rayuannya dapat didengar lebih awal supaya beliau boleh membersihkan nama sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette