Seorang penguatkuasa direman lima hari kerana meminta dan menerima rasuah RM5,000.

KUALA LUMPUR- Seorang pegawai penguatkuasa direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM5,000 daripada seorang individu bagi meminda seksyen kesalahan untuk satu kes penipuan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 4 Ogos 2024 telah dikeluarkan oleh Majistret Fatin Dayana Jalil setelah permohonan di buat SPRM di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 20-an telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tempat dia bertugas kira-kira jam 9.40 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM5,000 daripada pengadu sebagai balasan untuk meminda seksyen kesalahan bagi kes penipuan yang dikenakan kepada pengadu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette