Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Meta diminta memohon maaf berhubung tindakan memadam hantaran gambar di Instagram memaparkan perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas Allahyarham Ismail Haniyeh di Doha, Qatar.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut penjelasan Meta berhubung tindakan tersebut yang dilakukan semalam.

“Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan pihak Meta menurunkan hantaran gambar di Instagram yang memaparkan perjumpaan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar pada bulan Mei lalu.

“Tindakan ini ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.

“Sehubungan itu, pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” tegasnya dalam satu perkongsi di media sosial.

Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan Ismail Haniyeh ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin Hamas di Qatar

Tindakan Meta memadam perkongsian itu sehari sebelum Haniyeh dilaporkan dibunuh di Tehran, Iran hari ini.

Dalam pemakluman automatik, Meta menyatakan perkongsian itu dipadam kerana “nampaknya anda berkongsi atau menghantar simbol, pujian atau sokongan orang dan organisasi yang kami takrifkan sebagai berbahaya atau mengikuti mereka”.

Pada 14 Mei lalu, Anwar berkongsi gambar pertemuan dengan delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh, di Doha.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berpeluang menyampaikan ucapan takziah kepada Ismail yang kehilangan ahli keluarga dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

“Selain menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis, saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis,” kata Anwar.

Menurut Anwar, dalam pertemuan itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia akan berterusan dalam usaha memberi tekanan agar serangan ke atas Rafah dihentikan.

“Saya tegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Negara Islam) dan masyarakat antarabangsa.

“Dalam masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian,” kata Perdana Menteri lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Beri amaran kepada META jika mereka membuat sesuka hati menghalang orang yang bersimpati kepada rakyat Palestine .Ini bermakna META penyokong keganasan zinois rejim Yahudi Isreal dan kerajaan Malaysia boleh menghalang META atau haramkan META beroperasi di negara kita.
    Meta perlu diambil tindakan tegas kerana sikap buli siber wujud dalam pengurusan mereka kepada rakyat Malaysia yang utamakan kedamaian sejagat.

Comments are closed.