Rapid Bus memperkenalkan perkhidmatan percubaan Demand Responsive Transit (DRT) yang pertama di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Rapid Bus Sdn.Bhd. (Rapid Bus) memperluaskan jaringannya dengan memperkenalkan perkhidmatan percubaan Demand Responsive Transit (DRT) Rapid Penang yang pertama di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, perkhidmatan DRT bermula esok sehingga 31 Oktober depan di Farlim dan Air Itam itu akan melalui fasa pembuktian konsep (POC) membabitkan kerjasama dengan aplikasi tempahan perkhidmatan e-hailing Kumpool.

Perkhidmatan itu adalah bagi manfaat pengguna yang sebelum ini sukar mendapat akses perkhidmatan bas kerana jalan sempit terutama di kawasan perumahan.

“Kami sentiasa berusaha bagi menyediakan perkhidmatan yang relevan kepada penumpang dan perkhidmatan DRT ini merupakan mod pengangkutan fleksibel mengikut permintaan.

“Ia termasuk menyediakan kesalinghubungan first-last-mile dengan perkhidmatan laluan bas sedia ada dengan purata kekerapan 10 minit bagi perjalanan penumpang yang lebih lancar ke George Town.

“Perkhidmatan itu juga meliputi radius dua kilometer dengan menghubungkan penumpang ke beberapa lokasi tumpuan seperti Pekan Air Itam, Kek Lok Si, Sunshine Central, Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam dan Pekan Farlim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Yazurin, perkhidmatan DRT menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari antara 6 pagi sehingga 11 malam dengan tambang pengenalan sebanyak RM1 bagi setiap perjalanan.

“Pembayaran tambang boleh dilakukan secara tunai atau menggunakan Pas Mutiara My50 serta Pas Perjalanan OKU Smile.

“Perkhidmatan DRT juga boleh ditempah menerusi aplikasi Kumpool yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store,” katanya. – MalaysiaGazette