Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Seluruh ahli parti Pas digesa untuk melaksanakan solat hajat dan membacakan doa Qunut Nazilah di pada 3 Ogos depan.

Saranan itu oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar semua ahlinya mengambil peluang untuk bersoladiriti terhadap penduduk Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel.

“Justeru itu, saya dengan ini mengarahkan seluruh ahli Pas dan mencadangkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengadakan solat hajat dan Qunut Nazilah di seluruh negara pada hari Sabtu, 3 Ogos 2024.

“Semoga Allah memberi pertolongan dan kemenangan kepada rakyat Palestin serta menghancurkan bala tentera Israel dan sekutunya yang bertindak zalim tanpa perikemanusiaan,” gesa Abdul Hadi.

Ia setelah Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mencadangkan agar 3 Ogos ini diisytiharkan sebagai hari solidariti terhadap penduduk Gaza.

Dalam satu kenyataan di akaun Telegram Hamas Isnin lalu, Haniyeh menggesa 3 Ogos menjadi hari kebangsaan dan antarabangsa untuk menyokong Gaza dan tahanan.

“Penyertaan negara, Arab, Islam serta antarabangsa yang berkesan untuk tujuan ini dan kesinambungan semua bentuk demonstrasi serta perarakan terhadap pendudukan, pencerobohan dan jenayah Zionis hinggalah kekejaman terhadap banduan tahanan di penjara Nazi.

“Kami menantikan 3 Ogos sebagai hari yang penting dilihat dan berkesan di semua bahagian Palestin, kem pelarian dan diaspora serta di dunia Arab, negara Islam dan dalam kalangan semua orang bebas di dunia untuk menyokong rakyat kami di Gaza dan tahanan.

“Ia dibuat berikutan kesunyian antarabangsa dan ketidakupayaan untuk menghentikan perang agresif ini terhadap rakyat dan banduan. Berat sebelah dalam sokongan dan perkongsian penuh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dalam pencerobohan ini.

“Serta kegagalan institusi hak asasi manusia dan kemanusiaan dalam memikul tanggungjawab mereka dalam memberikan sokongan, bantuan dan kemenangan untuk rakyat kita di Semenanjung Gaza dan tawanan kita di penjara zionis,” katanya yang dilaporkan portal Al Quds.

Sejak 7 Oktober lalu, Israel dengan sokongan AS melancarkan perang ke atas Gaza sehingga mengakibatkan lebih 130,000 syahid dan cedera yang kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

Lebih 10,000 lagi hilang di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kebuluran yang dianggap bencana kemanusiaan terburuk di dunia. – MalasyiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast