MELAKA – Mahkamah Majistret Melaka hari ini menolak pengakuan bersalah seorang warga Nepal yang didakwa melakukan perbuatan onani yang akan mengganggu kesantunan seorang wanita Februari lalu.
Majistret Nabilah Nizam menolak pengakuan tertuduh, Tamang Dhana Bahadur, 37, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan namun tidak mengaku terhadap fakta kes menjadikannya pengakuan secara bersyarat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mengaibkan seorang wanita berumur 30 tahun dengan cara melakukan perbuatan onani
yang akan mengganggu kesantunannya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah lorong di belakang rumah berlamat Taman Kenanga Seksyen 3, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.44 malam 2 Februari 2024.
Difahamkan, tertuduh dan mangsa adalah berjiran dan perbuatan itu dilihat mangsa menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di belakang rumahnya.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Ogos sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette