Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis disyaki terlibat dengan kes samun di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selepas menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan daripada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dua suspek berumur 32 hingga 35 tahun ditahan di Batalion 19, Pasukan Gerakan Am, Cheras, hari ini jam 12.20 tengah malam.

Manakala seorang lagi suspek, 24 tahun menyerah diri jam 1 petang tadi.

“Dua orang suspek direman bermula hari ini hingga 7 Ogos. Manakala permohonan reman seorang lagi suspek dibuat esok untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Hussein, ekoran kejadian berkenaan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti. Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan tindakan jenayah yang dilakukan pegawai kanan atau rendah dalam kalangan anggotanya.

“Polis Kontinjen Selangor tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan polis mahupun pegawai rendah polis yang didapati terlibat alam kesalahan jenayah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau dah terbukti kesalahan waktu siasatan dijalankan. Apakah masih perlu untuk menunggu keputusan mahkamah untuk dibuang kerja??? Perbuatan yg terang terang menyalahi hukum undang undang. Pecat saja kerana undang undang dah jelas dgn hukuman.

Comments are closed.