PELABUHAN KLANG – Taktik sindiket yang mengikrar 4 juta batang rokok sebagai “Wood Marquetry and Inlaid Wood” terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan sebuah kontena di Zon Bebas, Pelabuhan Barat, di sini, 4 Jun lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Norlela Ismail berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena bersaiz 40 kaki itu menemukan sejumlah rokok dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Nilai dagangan berdasarkan pemeriksaan tailboard dianggarkan berjumlah RM320,000 membabitkan 4 juta batang rokok.
“Jumlah duti atau cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM2,672,000 manakala jumlah keseluruhan bernilai RM2,992,000,” katanya pada sidang media di pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar
“Tertuduh boleh dihukum denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, JKDM juga merampas 381 kilogram tembakau shisha bernilai RM43,832 termasuk duti dan cukai ditemui di dalam sebuah kontena yang dirampas di Zon Bebas, Pelabuhan Utara di sini, 15 Jun lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena menemukan sejumlah tembakau shisha dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Tembakau itu diikrarkan sebagai Loose Goods di dalam manifes bagi mengelakkan dikesan pihak JKDM,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar.
“Boleh dihukum denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette