KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 704 projek swasta sakit dan terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar
(GDV) sebanyak RM 58.94 bilion daripada Januari 2023 sehingga Jun 30 tahun ini.
Menterinya, Menteri Nga Kor Ming berkata, KPKT komited melakukan penambahbaikan supaya dapat mengurangkan projek-projek bermasalah, seterusnya menyasarkan tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.
“KPKT komited memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal tanpa mengira sama ada secara pemilikan atau sewaan di bawah konsep shelter for all,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan Dewan Negara, hari ini.
Katanya, KPKT sedang memperhalusi Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] bagi memperkukuhkan tindakan dan kawalan yang lebih baik sebagai pencegahan awal serta tindakan jangka panjang untuk memastikan tiada lagi projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai.
Menurut beliau, antara pindaan yang dicadang akan dilaksanakan adalah menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi pemaju atau Ahli Lembaga Pengarah yang disenarai hitam.
“Memperkenalkan Escrow Account bagi menggantikan Akaun
Pemajuan Perumahan (HDA) bagi memastikan kawalan yang lebih
telus terhadap pengeluaran wang oleh pemaju daripada akaun ini yang mana pengeluaran hanya dibenarkan melalui pengesahan oleh mana-mana agen escrow iaitu selaku pihak ketiga sebelum
pengeluaran wang daripada akaun boleh dibuat.
“Menyediakan definisi dan peruntukan perundangan khusus bagi pelikuidasi bagi menjelaskan dengan terperinci peranan dan tanggungjawab pelikuidasi yang mengambil alih projek perumahan swasta terbengkalai dan mencadangkan corporate guarantee bagi pemajuan yang berorientasikan Special Purpose Vehicle (SPV) supaya syarikat utama bertanggungjawab terhadap pemajuan yang dimajukan oleh anak syarikat,” jelasnya.
Nga berkata, ini kerana KPKT sedar dan prihatin bahawa isu
bangunan tinggal akan memberi kesan negatif terhadap sosio
ekonomi pembeli rumah sekaloigus menjadi ancaman
keselamatan dan kesihatan penduduk setempat. – MalaysiaGazette