MELAKA – Melaka mampu menjadi negeri pelancongan Islam terkemuka menerusi penganjuran pelbagai acara berskala besar berkonsepkan Islamik untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia sekali gus dapat merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ketika ini.
“Ini juga sejajar dengan status Melaka yang pernah menjadi pusat ketamadunan Islam di rantau ini suatu ketika dahulu menjadikan negeri Hang Tuah ini begitu strategik untuk penganjuran acara berkonsep Islamik.
“Melaka sentiasa bersedia menjadi lokasi penganjuran utama bagi mana-mana pihak yang berusaha untuk mengajak masyarakat menghayati erti kehidupan yang diredai Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE) 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh selama empat hari sehingga Ahad ini.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali selaku penganjur ekspo.
Mengulas lanjut, Rais dalam ucapannya berkata, IITTE 2024 contohnya menyajikan pelbagai program antaranya wacana ilmiah, bual bicara santai dengan tajuk-tajuk perbincangan yang menjurus kepada memahami Islam.
Ia termasuklah Pameran Menghayati Kehidupan Baginda Rasulullah SAW yang diadakan secara percuma untuk memberi berpeluang kepada orang ramai menyaksikan sendiri artifak atau bahan sejarah yang ada hubungkaitnya dengan Baginda Nabi.
“Besar harapan saya agar pengunjung dan para peserta yang menyertai ekspo ini dapat memanfaatkan peluang sebaik-baiknya untuk mewujudkan ukhwah silaturrahim,” katanya. – MalaysiaGazette