Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengurangkan penggunaan kandungan gula sebanyak 50 peratus dalam minuman yang disediakan dalam semua acara rasmi berkuat kuasa hari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan jumlah rakyat Malaysia menghidap diabetes kini mencecah 15.5 peratus berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023.

“Ia bermaksud masalah diabetes perlu ditangani secara menyeluruh dan salah satu ikhtiar kerajaan ialah mulai hari ini, Jemaah Menteri memutuskan semua acara kerajaan akan mengurangkan penggunaan gula sebanyak 50 peratus dalam minuman.

“Semua minuman akan disediakan dengan gula tidak dimasukkan dan kita akan mengurangkan penggunaan gula dalam semua acara kerajaan termasuk mesyuarat,” katanya yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 menunjukkan pecahan usia penghidap diabetes adalah golongan berumur 18 hingga 29 tahun sebanyak 3.2 peratus.

Kata beliau, bagi golongan 30-39 tahun, ia membabitkan jumlah 6.5 peratus, 40-49 tahun (15.2 peratus); 50-59 tahun (28.8 peratus) dan 60 tahun ke atas sebanyak 38 peratus. – MalaysiaGazette