PUTRAJAYA – Kerajaan akan menganjurkan satu perhimpunan solidariti bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perhimpunan akan berlangsung pukul 8 malam itu bertujuan memberi isyarat jelas pendirian rakyat Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Menurutnya, penganjuran perhimpunan itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan dijangka turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan menteri Kabinet serta pemimpin negara.
“Rakyat Malaysia dijemput hadir dan kita membuka ruang ini kepada semua pihak untuk bersama memberikan solidariti.
“Ini juga diharap menjadi isyarat yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa pendirian rakyat Malaysia dalam isu Palestin tidak berubah, kita akan terus bersolidariti dengan rakyat Palestin,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.
Perhimpunan itu menyusul selepas kematian pemimpin Hamas Dr Ismail Haniyeh dalam serbuan rejim Zionis di Tehran, Iran semalam.
Pada 24 Oktober lalu, Himpunan Malaysia Bersama Palestin juga telah diadakan di Stadium Axiata Arena bagi menyatakan sokongan kepada negara berdepan serangan rejim Israel. – MalaysiaGazette