KUALA LUMPUR – Himpunan Solidariti Palestin yang akan diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil, pada Ahad ini diharap dapat memberi mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia mencerminkan pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas itu kepada masyarakat antarabangsa.
“Kita dapat bincang dalam Kabinet, buat kenyataan yang tegas kita akan ada perhimpunan hari Ahad dan saya ingat cukup untuk menyampaikan mesej,” katanya kepada media di Masjid Negara, petang tadi.
Himpunan yang diadakan sebagai tanda solidariti bagi perjuangan pembebasan Palestin itu akan berlangsung pada pukul 8 malam.
Himpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti selepas pembunuhan pemimpin Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu serangan di Tehran, Iran pada Rabu dan perang di Gaza yang berlarutan sejak 10 bulan lalu.
Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil selepas ia diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Katanya, perhimpunan itu dijangka dihadiri oleh Anwar bersama barisan Kabinet serta pemimpin negara.
Anwar sebelum itu hadir di Masjid Negara bagi menyertai bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sempena Hari Pahlawan, hari ini.
Perdana Menteri tiba pada jam 5.10 petang dengan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayub Khan.
Bacaan yasin dan tahlil diketuai Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni. – MalaysiaGazette