KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan status ucapan takziah ke atas kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh daripada beberapa pemimpin politik di negara ini.
Ketua Pembangkang itu berkata, adakah kenyataan mengutuk kekejaman yang mengorbankan nyawa merupakan satu kesalahan sehingga ucapan tersebut diturunkan daripada bacaan awam.
“Apakah tindakan mencela pembunuhan kejam dan mengutuk jenayah genosid diklasifikasikan sebagai melanggar piawaian standard atau against community standard?
“Community standard mana yang diterima masyarakat? Pembunuhan kejam atau mengutuk pembunuhan kejam?, soal Hamzah.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kecewa dengan Meta yang menurunkan ucapan takziah dan kritikan beliau terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh dalam serangan bersasar peluru berpandu di Tehran Iran.
Malah ucapan takziah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin juga turut menerima nasib sama apabila diturunkan tanpa alasan.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, sekatan untuk mengutuk perbuatan zalim ini merupakan satu lagi usaha untuk melemahkan tindakan menolak kezaliman.
“Rakyat Malaysia seharusnya melihat ini sebagai satu lagi usaha untuk melemahkan tindakan mengutuk kekejaman dan kezaliman.
“Yang paling penting, rakyat mahu melihat pendirian Kerajaan Malaysia yang lebih jelas dan tegas terhadap perlakuan syarikat-syarikat antarabangsa seperti ini. Siapa sebenarnya musuh kita?, soal Hamzah lagi.
Semalam, pemimpin Hamas Ismail Haniyeh terbunuh di Iran, umum kumpulan bersenjata Palestin itu.
Hamas berkata allahyarham terbunuh susulan serbuan Zionis terhadap kediamannya di Tehran, ibu negara Iran. – MalaysiaGazette