MELAKA – Lebih 50,000 pengunjung dijangka membanjiri Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE) 2024
di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh sehingga Ahad ini.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali berkata, lebih 300 gerai pameran dan jualan pelbagai kategori menyertai ekspo selama empat hari itu.
Ia merangkumi produk makanan dan minuman, pelancongan, pertanian, penjagaan kesihatan dan perbankan dan bukanlah sekadar produk halal semata-mata.
Menurutnya, ITTE 24′ yang bertemakan ‘Islam Adalah Cara Hidup’ bertujuan mengajak semua lapisan masyarakat menghayati kehidupan mengikut syariat Islam.
“Hakikatnya ekspo ini memaparkan konsep Al Islam Deinul Hayah – Islam sebagai sistem hidup iaitu kehidupan yang halal atau bernilai ibadah di sisi Allah.
“Semoga Ekspo ini menjadi permulaan mengulangi sejarah kegemilangan Empayar Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan dan peradaban dunia lebih 600 tahun lampau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian IITTE ’24 di MITC di sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Mengulas lanjut Nasiruddin berkata, Empayar Melaka bukan setakat tempat tumpuan para pedagang dunia tetapi berjaya
menarik ramai para ilmuan, ulamak, bijak pandai dan ahli sufi yang menetap, berkahwin dan berkeluarga.
“Ini terbukti dengan kehadiran lebih 200 delegasi dari 20 buah negara yang akan berkampung selama empat hari di sini.
“Antara negara terlibat adalah Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Jordan, Mesir, Maghribi, Oman, China, Australia, United Kingdom, Perancis, Brunei dan Jerman,” katanya. – MalaysiaGazette