Ahli perniagaan, Mohd Hussein Mohd Nasir atau lebih dikenali Datuk Roy didakwa atas pertuduhan terbabit rasuah RM640,000 di Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 01 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ untuk mendapatkan senarai saksi pendakwaan dalam kes rasuah dihadapi mereka.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin memutuskan untuk membenarkan permohonan Datuk Roy atau nama sebenarnya, Mohd Hussein Mohd Nasir dan seorang lagi tertuduh, Mohd Rasyidi Mohd Said.

Ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh itu, Azizul Shariman Mat Yusoff berkata, pihaknya telah memohon kepada mahkamah setelah senarai saksi tidak diberikan kepada mereka sebelum ini.

Kata Azizul, selalunya pendakwaan akan menyerahkan senarai itu sebelum perbicaraan mula namun dalam kes mereka, senarai itu tidak diberikan sebelum pihaknya memohon kepada mahkamah.

Peguam, Azizzul Shariman Mat Yusoff bercakap mewakili tertuduh yang terbabit rasuah RM640,000 di Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 01 OGOS 2024.

“Selalunya pendakwaan akan berikan senarai itu. Kita tidak minta keterangan saksi tapi hanya mahu melihat saksi-saksi yang akan memberikan keterangan mereka ketika perbicaraan dua hari minggu depan.

“Hakim telah membenarkan permohonan anak guam kami, saya dimaklumkan pendakwaan akan serahkan senarai itu hari ini atau selewat-lewatnya esok,” katanya ringkas selepas prosiding pagi ini.

Pada awal bulan lepas, mahkamah dimaklumkan permohonan oleh dua OKT ini untuk untuk mengkaji semula dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM640,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan reman terhadap anak bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) ditolak.

Perbicaraan bermula minggu depan, 8 dan 9 Ogos ini di hadapan Suzana.

Pada 25 Mei 2023, Mohd Rasyidi dan Mohd Hussein didakwa bersama-sama secara rasuah meminta untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain suatu suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Siti Dalena Berhan sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin ketika siasatan SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar, di sini, antara 9 dan 11 malam, 5 Mac tahun lalu.

Mereka juga didakwa menerima suapan untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai berjumlah RM240,000 daripada Syed Farid Syed Al Attas, 41, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman individu sama semasa siasatan pihak SPRM di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, di sini, antara jam 2 dan 4 petang, 6 Mac tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Hussien turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan meminta rasuah wang berjumlah RM2 juta untuk dirinya daripada Siti Dalena dan Syed Farid.

Ia sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi oleh ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Melayu Kepong, di sini, pada Februari 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast