Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas konsisten menyatakan berpendirian bahawa adalah tidak bermaruah jika kerajaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih meneruskan cadangan usahasama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Khazanah dengan BlackRock Inc..

Setiausahanya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama itu harus dihentikan dengan pihak yang membiayai senjata rejim zionis.

“Yang secara jelas terlibat dalam pembiayaan
dan persenjataan kepada rejim haram zionis Israel bagi melakukan pembunuhan, genosid dan jenayah perang yang terkutuk terhadap saudara kita di Palestin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah diplomatik ke arah kemerdekaan Palestin selain memberi tekanan antarabangsa demi menghalang Israel daripada meneruskan kekejaman dan jenayah perang terhadap rakyat Palestin.

“Ini selaras dengan keputusan terbaharu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), serta pelbagai resolusi dan ketetapan di pihak PBB dan OIC yang perlu dihormati,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, Pas akan menghantar wakil rasmi bagi memberi penghormatan terakhir dan menyertai upacara pengebumian jenazah Ismail Haniyeh di Doha, Qatar, Jumaat ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Agung parti tersebut, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan.

Katanya, tiga wakil berkenaan adalah Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan wakil lajnah Parlimen parti itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

“Pastinya pemergian As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh adalah suatu kehilangan besar terhadap umat Islam seluruhnya, namun ia tidak sesekali akan mematahkan semangat juang para pencinta bumi Al-Quds untuk sepanjang zama,” ujarnya.

Ismail terbunuh dalam serangan Israel di kediamannya di Tehran, semalam. – MalaysiaGazette