Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (Pindaan) 2024 (MSBA 2024), yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2024.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata, pindaan pada MSBA akan memperkukuh keupayaannya untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berkesan terhadap pengendali haram.

Langkah ini juga akan bertindak sebagai pencegahan yang mantap terhadap aktiviti tidak dibenarkan yang boleh mendedahkan pelanggan kepada risiko serta menjejaskan integriti industri perniagaan perkhidmatan wang (money services business, MSB).

Pindaan memperuntukkan a) penjara mandatori untuk tempoh tidak lebih 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM50,000 bagi pengendali MSB yang haram; b) penerangan yang lebih jelas berhubung dengan kesalahan bersubahat dengan pengendali haram;
c) takrifan perniagaan kiriman wang dan skop bukti yang lebih jelas untuk digunakan bagi mendakwa pengendali haram; d) pihak berkuasa melucuthakkan harta pengendali haram apabila didakwa bagi menghalang pesalah berulang; dan e) tindakan pentadbiran, dan bukan tindakan undang-undang, yang perlu diambil oleh BNM terhadap kesalahan operasi (operational breaches) oleh pemegang lesen MSB selaras dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih setara dengan tahap keseriusan kesalahan.

Menurutnya, MSBA diterbitkan untuk pertama kali pada 2011, mentadbir amalan dan penyeliaan industri MSB yang terdiri daripada pengurup wang, pengendali perkhidmatan kiriman wang dan pemborong mata wang.

MSBA telah memainkan peranan utama dalam mempertingkatkan tahap profesionalisme dan piawaian pematuhan industri serta mencegah penyalahgunaan entiti MSB untuk tujuan jenayah. – MalaysiaGazette