Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kehilangan pemimpin Hamas, Dr. Ismail Haniyeh ditangisi namun semangat perjuangannya akan terus kekal dalam jiwa dan sanubari setiap umat yang mahukan kemerdekaan untuk Palestin.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pihaknya yakin akan lahir lebih ramai Dr. Ismail Haniyeh yang akan bangkit dengan lebih teguh untuk meneruskan legasi beliau dan memastikan pengorbanannya tidak sia-sia.

“YADIM ingin menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas tragedy pembunuhan pemimpin Hamas, As-Syahid Dr. Ismail Haniyeh di Iran oleh rejim haram Israel pada 31 Julai lalu.

“Dr. Ismail Haniyeh sebelum ini telah menjadi satu simbol sebuah perjuangan untuk kemerdekaan dan menuntut hak serta keadilan.

“Kehidupannya penuh dengan pengorbanan dan komitmen untuk membela nasib bangsa dan tanah airnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hasanuddin, amat malang sekali, nyawa seorang pemimpin berjiwa besar yang telah berjuang tanpa henti demi kebebasan telah diragut dengan amat tidak berperikemanusiaan.

“Tindakan barbarik oleh Israel ini menjadi bukti sekali lagi betapa seluruh dunia tanpa mengira latar belakang perlu bersatu menentang kekejaman rejim tersebut yang jelas berulang kali sejak puluhan tahun lepas melakukan pembunuhan atas alasan mempertahankan diri,” katanya.

YADIM dan para pendakwah di negara ini ingin mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga Dr. Ismail Haniyeh. – MalaysiaGazette