KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 dalam serbuan ke atas sebuah premis di Bagan Sekinchan, Selangor, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa kementerian itu, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Selangor dan Putrajaya dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula kira-kira jam 8 malam.
Katanya, ketika serbuan 59,500 liter minyak diesel ditemui disyaki digunakan untuk kegiatan penyelewengan.
“Ia adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN sebelum operasi dilaksanakan,” katanya.
Menurut beliau, sindiket tersebut menggunakan premis yang diserbu sebagai stor haram tempat penyimpanan minyak diesel untuk nelayan tempatan di bawah seliaan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).
Katanya, selain diesel sebuah lori tangki, paip penyambung, minyak dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan yang ditemukan bernilai RM200,000 telah disita.
Tambah Azman, seramai enam individu antara 30 hingga 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Dua daripada individu yang ditahan itu merupakan warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing yang dipercayai pekerja dan pemandu lori berkenaan,” katanya.
Ujar beliau, KPDN telah membuka kertas siasatan dan siasatan lanjut sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu dan syarikat yang terlibat dalam sindiket tersebut. – MalaysiaGazette