PUTRAJAYA – Kerajaan telah meminta penjelasan daripada Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan hantaran video, ucapan takziah serta kritikan di akaun Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Dr Ismail Haniyeh.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihak masih menunggu penjelasan mengenai tindakan itu namun kesal dengan apa yang berlaku.
“Saya minta penjelasan kenapa hanya hantaran dimuat naik Perdana Menteri disasarkan. Kita sedang menunggu penjelasan daripada Meta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar mengecam tindakan Meta yang menurunkan hantaran video serta ucapan takziah beliau terhadap pembunuhan Ismail itu.
Menerusi hantaran di laman sosial rasminya hari ini, Perdana Menteri turut lantang mengingatkan pihak Meta agar tidak menjadi bacul dan perkakas kepada rejim Zionis.
Semalam, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran foto di Instagram yang memaparkan perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas itu di Doha, Qatarpada Mei lalu.
Ismail dilaporkan terbunuh dalam serangan bersasar peluru berpandu di Tehran, Iran semalam.
Pembunuhan allahyarham yang juga Ketua Biro Politik Hamas itu dikutuk oleh seluruh dunia.
Pada Mei lalu, Meta yang menurunkan hantaran berkaitan pertemuan Anwar dengan Ismail tetapi kemudian mengembalikan catatan itu yang didakwa tersilap. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kali kedua Meta turunkan hantaran, Anwar beri peringatan usah jadi bacul