KUALA LUMPUR – Selepas Meta bertindak menurunkan ucapan takziah Perdana Menteri atas kematian Almarhum Dr Ismail Haniyeh – perkara sama berlaku kepada ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pentadbir akaun Facebook bekas perdana menteri itu berkata, reaksi Muhyiddin terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas di Iran diturunkan pengendali platform media sosial berkenaan tanpa sebarang makluman.
“Facebook telah menurunkan hantaran ucapan takziah kepada Almarhum Ismail Haniyeh. Tiada maklumat lanjut diberikan,” katanya.
Hasil carian di Facebook mendapati status berkenaan sudah diturunkan atau dipadamkan oleh Meta.
Semalam, Muhyiddin berkata, gabungan pembangkang itu menggesa kerajaan segera memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi menyatakan ketetapan tegas Malaysia dalam konflik Palestin.
Muhyiddin turut berkata, insiden terhadap Ismail merupakan jenayah tidak berperikemanusiaan, terkutuk lagi terkeji dan wajib dikecam sekeras-kerasnya.
Menurut beliau, serangan kediaman Allahyarham Ismail Haniyeh juga merupakan tindakan bacul rejim Zionis Israel dalam siri genosid ke atas rakyat Palestin.
Awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada Meta supaya tidak menjadi bacul dan menjadi perkakas kepada rejim zalim zionis Israel.
Amaran itu susulan tindakan Meta yang sekali lagi memadam kandungan di laman sosial Facebook beliau, kali ini berkenaan ucapan takziah kepada pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang dibunuh yang dimuat naik semalam.
Tegas Anwar, adalah tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya. – MalaysiaGazette