KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bersama lebih 2,000 jemaah untuk menunaikan solat jenazah ghaib atas pemergian Pengerusi Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Masjid Negara, hari ini.
Perdana Menteri itu tiba di perkarangan Masjid Negara kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi disambut jemaah sebelum menunaikan solat Jumaat.
Hadir bersama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Solat jenazah ghaib diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni yang turut menjadi khatib solat Jumaat.
Solat didirikan berikutan kematian Allahyarham Ismail yang maut dalam pembunuhan di kediamannya di Tehran, Iran, kelmarin.
Khutbah Jumaat minggu ini bertajuk ‘Perjuangan Demi Nusa Tercinta’ bersempena sambutan Hari Pahlawan. – MalaysiaGazette