KUALA LUMPUR – Hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook berkaitan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh diturunkan oleh peringkat tertinggi Meta Platforms Inc (Meta).
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai Meta di peringkat Asia bahawa pihak platform itu tidak tahu menahu mengenai penurunan hantaran Anwar.
“Mereka (Meta Inc Asia) beri bayangan ini bukan tindakan di peringkat mereka.
“Kemungkinan ini berlaku di peringkat lebih tinggi, mungkin dari peringkat yang tertinggi, kita akan dapatkan pengesahan,” katanya kepada media selepas selesai solat Jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Negara, hari ini.
Semalam, Anwar meluahkan rasa kecewa susulan tindakan Meta yang sekali lagi memadam kandungan di laman sosial Facebook beliau.
Ia berkenaan ucapan takziah kematian pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang dimuat naik kelmarin.
Berikutan tindakan tersebut, Anwar memberi peringatan tegas kepada Meta supaya tidak bertindak bacul dan menjadi perkakas kepada rejim zalim Zionis Israel.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Meta akan menghantar delegasi mereka minggu depan untuk memberikan alasan mereka berhubung penurunan hantaran Anwar.
“Kita beri masa (untuk Meta beri penjelasan) hingga delegasi mereka sampai minggu depan,” tambah Fahmi.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil apa-apa tindakan sekiranya Meta gagal memberikan penjelasan, Fahmi berkata kerajaan mempunyai pertimbangan terhadap langkah tersebut.
“Kita ada pertimbangan, kita nak dapatkan dahulu penjelasan daripada Meta sebab pegawai meta di rantau ini sangat keliru kenapa ini berlaku, saya tak salahkan mereka,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN
- Kali kedua Meta turunkan hantaran, Anwar beri peringatan usah jadi bacul
- Turun kenyataan PM: Kerajaan tunggu penjelasan Meta
Rabu lalu, Semalam, Bahagian Media & Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran gambar di Instagram yang memaparkan perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas itu di Doha, Qatar, pada Mei lalu.
Dalam kenyataannya, bahagian terbabit memaklumkan, tindakan Meta itu ternyata memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.
Sehubungan itu, bahagian terbabit turut menuntut penjelasan berhubung perkara tersebut dan mendesak Meta memohon maaf. – MalaysiaGazette