Seramai 71 warga asing telah ditahan susulan aduan dan risikan yang dilakukan selama seminggu. Foto Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Premis perniagaan yang dimonopoli warga asing sekitar kawasan Pusat Perniagaan Kinrara di Puchong Selangor telah diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 71 warga asing telah ditahan susulan aduan dan risikan yang dilakukan selama seminggu.

Katanya, operasi penguatkuasaan itu dijalankan sekitar jam 11.50 pagi melibatkan seramai 92 anggota dan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Pasukan operasi telah diaturgerak ke kawasan berkenaan dan menggempur deretan kedai yang dimonopoli oleh warganegara asing dipercayai berselindung di sebalik lesen perniagaan milik warganegara tempatan secara ‘Ali Baba’.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki, 10 wanita dan 1 kanak-kanak lelaki warganegara Indonesia, turut ditahan 21 lelaki, 1 wanita dan 1 kanak-kanak lelaki warganegara Bangladesh.

“Manakala warganegara Myanmar, 1 lelaki dan 4 wanita, bagi warganegara Sri Lanka pula adalah 2 lelaki dan 1 wanita, turut ditahan 6 lelaki  Pakistan dan 12 lelaki India.

“Kesemuanya ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Sek.15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Per. 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Premis perniagaan yang dimonopoli warga asing sekitar kawasan Pusat Perniagaan Kinrara di Puchong Selangor telah diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam. Foto Ihsan JIM

Tambah beliau, pihaknya juga menahan 14 orang warga tempatan serta seorang lelaki India (MyPR) yang merupakan majikan di 17 premis perniagaan di kawasan itu.

Kesemua yang ditahan berusia berusia antara tujuh bulan hingga 61 tahun dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.55 (B) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Sementara itu, kesemua warganegara asing yang ditahan telah  ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Tegas beliau, JIM tidak akan berkompromi terhadap warganegara asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa serta  menyalah guna pas di negara ini. – MalaysiaGazette