Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kesal dengan tohmahan seorang ahli politik yang mendakwa Kursus Dakwah Harmoni anjuran Global Unity Network Unity (UNITY) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengundang ancaman terhadap akidah.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar menjelaskan, dakwaan tersebut satu tohmahan yang tidak bersandarkan fakta sebenar.

“Ia hanyalah bertujuan memburukkan imej dan komitmen Kerajaan dalam menjayakan agenda mengukuhkan kedudukan Islam dan pembangunan ummah di negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Na’im, Kursus Dakwah Harmoni tersebut ialah program tertutup dan khusus untuk guru-guru agama dakwah terpilih daripada Jabatan Agama Islam Perak.

Program berkala yang dianjurkan tersebut merupakan sebahagian dari siri latihan peningkatan kefahaman dan kemahiran dakwah yang bermatlamat meningkatkan kepakaran dakwah kepada guru-guru bagi membolehkan mereka memberikan kefahaman yang sebenar tentang ilmu berkaitan agama-agama lain dan perbandingannya kepada komuniti dan generasi muda.

Seperti mana sedia maklum, katanya, lawatan itu telah dibimbing oleh Encik Shah Kirit Kakulal Govindji yang mempunyai kepakaran dalam perbandingan agama dan ia dijalankan di pusat ibadah bukan Islam adalah salah satu dari aktiviti pendidikan terkawal bagi mencapai objektif kursus yang dilaksanakan.

Menurutnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah dimaklumkan sepanjang Lawatan Harmoni Terbimbing tersebut dan tiada penglibatan dalam amalan upacara keagamaan.

“Ia bukan program terbuka kepada umum kecuali untuk para peserta yang telah terlatih dalam bidang dakwah dan perbandingan agama.

“Lawatan itu juga telah memberi ruang dan peluang kepada guru agama dakwah berdialog dan menyampaikan mesej agama Islam yang sebenar serta sejagat demi memelihara kesejahteraan dan keharmonian tamadun insan,” katanya.

Malah penganjuran kursus tersebut menerusi pendekatan dialog antara tamadun bukan inisiatif baru tetapi telah dilaksanakan dengan jayanya sejak lima tahun lalu.

“Justeru, saya ingin menyeru umat Islam agar tidak terpengaruh dan menolak tohmahan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu yang berniat jahat bertujuan memecah belahkan keharmonian dan usaha perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette