Poster Himpunan Pembebasan Palestin.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput untuk menyertai Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada  jam 8 malam, Ahad ini.

Menerusi satu hantaran di Facebok, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perhimpunan itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua dijemput hadir! Himpunan Pembebasan Palestin dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena, Bukit Jalil. Kita jumpa Ahad ini!,” katanya.

Semalam, Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan itu merupakan antara tindakan Malaysia menyokong Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel membunuh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Sebelum ini, Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran pada kira-kira 2 pagi waktu Iran pada 31 Julai lepas.

Allahyarham Ismail Haniyeh telah berada di Iran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian.

Himpunan ini bukanlah pertama kali diadakan.

Malaysia pernah mengadakan himpunan sama yang telah menghimpunkan para pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang yntuj menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin. – MalaysiaGazette