Keadaan kereta yang remuk dirempuh motosikal di Jalan Nilai/Salak Tinggi / Bukit Changgang, Selangor, semalam.

SEPANG – Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas dua kenderaan membabitkan kereta di Jalan Nilai/Salak Tinggi / Bukit Changgang, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecedaraan di kepala.

Terdahulu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Sepang telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.38 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi membabitkan dua buah kenderaan iaitu jenis Proton Saga dan sebuah motosikal jenis Honda RS-X.

“Ketika kejadian, pemandu kereta terbabit merupakan seorang lelaki tempatan sedang dalam perjalanan dari Salak Tinggi menghala ke Gombak.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandunya di lorong tengah berhenti kerana lampu isyarat merah. Kemudian datang motosikal mangsa dari arah belakang melanggar bahagian kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wan Kamarul Azran turut meminta orang ramai yang maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang. – MalaysiaGazette