Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dinasihati menangguhkan perjalanan ke Dhaka, Bangladesh sekiranya mempunyai urusan tidak penting berikutan keadaan di negara itu yang tidak dapat diramal sekarang.

Wisma Putra, Kementerian Luar berkata, pihaknya sedia maklum ada rakyat Malaysia yang menyatakan hasrat pulang ke Bangladesh.

“Mereka yang mahu pulang ke sana dinasihatkan untuk mendaftarkan kehadiran di Bangladesh dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

“Begitu juga buat pelajar Malaysia yang mahu pulang ke Bangladesh untuk menyambung pelajaran sebaik sahaja tiba di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia melalui butiran di bawah:

SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA DI DHAKA
Alamat: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka
House No. 19, Road No. 6,
Baridhara Diplomatic Enclave,
Dhaka – 1212
People’s Republic of Bangladesh
No. Telefon: +880241081892 / 1895
+88 018 4179 8077 (kecemasan sahaja)
Emel: [email protected]

Wisma Putra turut meminta rakyat Malaysia sentiasa berwaspada dan mengelak diri untuk terus berada berhampiran kawasan konflik.

“Langkah berjaga-jaga ini perlu diambil mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kami akan terus memantau keadaan di Bangladesh dan memberikan komitmen untuk menjaga kebajikan dan keselamatan semua warganegara Malaysia di Bangladesh terjamin,” tambahnya.

Bangladesh sebelum ini mengalami pergolakan selepas tercetusnya demonstrasi menyaksikan sekurang-kurangnya 133 orang terbunuh dalam protes membantah pengenalan semula sistem kuota perkhidmatan awam sejak 1 Julai lalu. – MalaysiaGazette