KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang di Petaling Jaya dekat sini sejak semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, pihaknya menerima laporan berkenaan kehilangan remaja tersebut pukul 1.15 pagi hari ini.

Kali terakhir mangsa, Alief Daniel Ghazally Abdul Ghaniy dilihat di rumahnya pukul 11. 50 pagi semalam di Jalan PJS 2C, Petaling Jaya.

Menurut Shahrulnizam, sebelum hilang, remaja tersebut memakai pakaian baju sukan sekolah warna merah bertulis Mars di bahagian belakang.

Manakala lencana dan nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medan di sebelah kiri bahagian depan baju dan berseluar track berwarna hitam.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja tersebut upaya tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan bilik Gerakan di IPD Petaling Jaya di 03-796 62222.- MalaysiaGazette