KUALA LUMPUR – Demi impian untuk menjadi seorang jurutera, Muhamad Daniel Asyraf Abdul Aziz, 18, rela merentasi Banjaran Titiwangsa dari Kelantan ke Pulau Pinang.
Berasal daripada keluarga yang sangat sederhana, anak sulung daripada enam beradik itu, gembira diberi peluang melanjutkan pengajian bagi Diploma Kejuteraan Makanikal (Loji) di Politeknik Seberang Perai (PSP).
Asyraf yang telah kehilangan ayah kandung akibat kemalangan jalan raya seawal usia 30 hari kini menumpang kasih ayah tiri yang sangat penyayang.
“Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan berazam untuk menjadi salah seorang pelajar yang menerima anugerah setiap semester.
“Walaupun ayah tiri saya hanya bekerja sebagai buruh kasar, namun pengorbanannya membesarkan saya seawal usia 2 tahun amat saya kenang dan hargai.
“Ibu dan ayah merupakan insan yang paling banyak mendorong saya untuk terus maju dalam pelajaran. Semoga apabila saya berjaya nanti, saya akan membalas jasa kedua ibu dan ayah,” katanya.
Ibunya, Rosenani Wahab, 44, berkata, walaupun dia lebih selesa jika anak tinggal bersama tetapi keinginan untuk melihat anaknya berjaya dalam pelajaran dan mencapai cita-cita, menguatkan hatinya untuk berpisah sementara dengan anak.
“Kami bukanlah orang senang, hanya mampu bekalkan pelajaran dan doa sahaja untuk kejayaan anak di masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah PSP, Roseliza Datuk Shaari, memberi nasihat kepada para pelajar sebenarnya tiada formula tertentu untuk berjaya.
“Hanya diri kita sendiri yang boleh menolong kita dan menentukan sejauh mana kita boleh melangkah pergi. Untuk berjaya pasti ada liku-likunya, namun semuanya terletak pada diri sendiri.
“Kita perlu bangkit untuk lebih kuat dan saya sangat yakin mereka mampu mencapai sesuatu yang tinggi lebih daripada yang difikirkan. InsyaAllah,” katanya.- MalaysiaGazette