Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Perjuangan reformis sepatutnya menghapuskan undang-undang draconian, bukannya mengekal dan menambah lebih banyak lagi peraturan bagi menyekat suara rakyat.

Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengulas mengenai perlesenan perkhidmatan media sosial yang akan berkuat kuasa mulai tahun depan mendakwa, peraturan baharu itu menunjukkan kerajaan begitu takut dengan bayang-bayang sendiri dan kegagalan demi kegagalan yang berlaku akan mengundang lebih banyak kritikan daripada masyarakat umum.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional itu menambah, beliau memahami kekecewaan bekas Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan apabila kerajaan memperkenalkan sistem perlesenan kepada platform-platform media sosial, pada masa sama tidak pula memansuhkan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, sepertimana yang diperjuangkan suatu masa dahulu.

“Sebagai salah seorang yang terlibat dalam gerakan reformasi, saya amat memahami kekecewaan yang dirasai oleh Ambiga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Ambiga dakwa Kerajaan Perpaduan sebagai paling diktaktor

Baru-baru ini, Ambiga menyelar Kerajaan Madani kerana mewujudkan satu sistem perlesenan dan “kill switch” (suis maut) bagi platform-platform media sosial.
Namun begitu, kenyataan Ambiga itu diselar oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil  menyelarkan yang disifatkan sebagai hiperbola  dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, biarpun Ambiga mempunyai hak untuk menyatakan pandangan berhubung isu itu, tegurannya tersasar dan tidak dilihat dalam konteks sedia ada.
“Itu kenyataan hiperbola, beliau tidak berpijak di bumi yang nyata, bukan kerajaan ini yang lakukan Ops Lalang, bukan kerajaan ini yang melakukan tindakan memukul peserta demonstrasi.

“Malah baru-baru ini sekumpulan peserta melakukan protes di hadapan pusat khidmat Perdana Menteri di Tambun, Perak, mereka tidak ‘disambut’ dengan cota dan gas pemedih mata, sebaliknya mereka diberikan air dan roti,” kata Fahmi.

Kenyataan Fahmi itu dibidas Zuraida dengan berkata: “Kita tidak mahu ketidakpuashatian rakyat hanya dibalas dengan “roti dan air” semata-mata, kerana walaupun ia mengenyangkan dan menghilangkan dahaga, ia tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat.

“Hari ini, seorang “reformis” sudah berada di tampuk pemerintahan negara, sudah tentu kita sebagai rakyat mahu agenda reformasi yang dicanang sebelum ini dilaksanakan secara keseluruhannya,” ujar Zuraida.

Menurut Zuraida berkata, beliau percaya jika peraturan itu dilaksanakan ia bukan sahaja akan merencatkan perkembangan demokrasi negara tetapi juga akan merosakkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Bahkan beliau berkata, kekecewaan Ambiga adalah suatu perasaan yang sah dan wajar diambil peduli oleh kerajaan.

Malah, perkataan diktator yang digambarkan Ambiga kepada kerajaan adalah terlalu lembut untuk disifatkan kepada sebuah kerajaan yang dipimpin oleh golongan reformis palsu ini.

“Tetapi, setelah menilai jawapan semberono Fahmi Fadzil, saya yakin kerajaan semakin lama semakin celaru dan semakin sukar untuk menyorokkan kebejatan yang berlaku di dalam pemerintahan mereka pada hari ini.

“Sepertimana dalam kenyataan saya sebelum ini, kerajaan pada ketika ini seolah-olah telah dirasuk ideologi komunis yang bukan sahaja membelenggu kehidupan rakyat tetapi juga cuba menyekat kebebasan berfikir dan bersuara seluruh rakyat Malaysia,” dakwa Zuraida lagi. – MalaysiaGazette